Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Agensi Berita Taghrib (TNA) telah melangsungkan majlis perpisahan mantan Pengarah Urusannya, Dr. Muhammad Mahdi al-Taskhiri, dan perlantikan pengarah baru Syeikh Hujjatul Islam Niki Maliki pada hari Rabu lalu.
Antara yang turut hadir ialah Ayatullah Syeikh Muhsin al-Araki selaku Setiausaha Agung Majma' Jahani Taqrib, Ayatullah Syeikh Muhammad Ali Taskhiri sebagai penasihat tertinggi Kepimpinan Revolusi Islam Sedunia, dan beberapa penyelia pusat kebudayaan Islam lain.
Dr. Taskhiri dalam ucapannya berkata, "Sesungguhnya Pendekatan Antara Mazhab Islam tidaklah lahir pada hari ini, malah ia sudah wujud sejak permulaan sejarah Islam. Dalilnya ialah ayat-ayat al-Quran:
"Maka dengan sebab rahmat daripada Allah , engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu." [Surah Al 'Imran ayat 159]
ianya menegaskan seruan taqrib (pendekatan) sebagai rahmat daripada Allah (s.w.t) ke atas Nabi-Nya Muhammad (s.a.w), demi mendekatkan hati dan persaudaraan di kalangan kaum muslimin."
Mengenai Kebangkitan Islam, Taskhiri berkata, "Di zaman umat Islam menjadi 1/4 daripada penduduk dunia, kita lihat mereka belum mencapai ke tahap yang dapat membuat keputusan di peringkat global. Ini mengingatkan kita terhadap ucapan Imam Khomeini yang menyeru umat Islam ke arah diplomasi kesatuan Islam, dan usaha penggagasan umat yang bersatu." Beliau turut menegaskan tanpa pemimpin yang bijak, Kebangkitan Islam tidak akan mencapai matlamatnya.
Berkenaan pencapaian Agensi Berita Tagrib, bekas pengarahnya berkata, "Matlamat utama pengasasan Agensi Berita Taghrib ialah menyampaikan suara Lembaga Pendekatan Antara Mazhab dan menyatakan kemajuan hasil usaha yayasan-yayasan yang berada dalam format misi ini. Ini semua bertujuan menjayakan projek Taqribnya, iaitu dengan mengikuti persidangan-persidangan antarabangsa yang berkaitan dan menyertai keanggotaan dalam pusat-pusat Islam di peringkat global terutamanya ISESCO."
Taskhiri turut menambah, "Untuk ini, Agensi Berita Taghrib mempunyai lima bahasa dunia iaitu Farsi, Arab, Inggeris, Perancis dan Urdu."
Syeikh Hujjatul Islam Niki Maliki selaku pengarah baru menyatakan penghargaan atas usaha gigih Dr. Taskhiri selama bertugas mentadbir dan menjayakan misi agensi sejak penubuhannya sehingga ke hari ini.
Maliki turut berikrar akan menyambung usaha agensinya dalam format membangunkan diplomasi kesatuan sebagaimana yang telah ditekankan oleh Syeikh Araki.
Beliau juga menceritakan program-program penting Agensi Berita Taqrib (TNA) di masa akan datang, iaitu menambah wakil-wakilnya di berbagai kota dan wilayah Iran termasuklah di negara-negara Islam yang lain, menambah bahasa dan lain-lain lagi.
Di akhir majlis, Setiausaha Agung Taqrib Syeikh Muhsin al-Araki menyerahkan sijil penghargaan kepada bekas pengarah TNA Syeikh Dr. al-Taskhiri.